Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan lebih RM429 juta bagi tempoh 2023 hingga 2026 untuk memperkukuh kebajikan anggota serta meningkatkan keupayaan operasi agensi penguat kuasa di Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dalam keadaan lebih selesa dan berkesan.
Menurut beliau, usaha memperkasakan kebajikan anggota bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menjamin keselamatan rakyat.
“Apabila anggota penguat kuasa mempunyai tempat bertugas yang lebih kondusif, kuarters yang lebih selesa dan kemudahan operasi yang lebih moden.
“Rakyat turut menikmati manfaatnya melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik serta persekitaran yang lebih aman dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Saifuddin berkata, komitmen itu selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang terus menyalurkan sokongan kepada kerajaan negeri mengikut keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Johor menerima peningkatan peruntukan pembangunan dan pengurusan kepada kira-kira RM14.6 bilion berbanding RM10.2 bilion sebelum ini.
Menurutnya, KDN akan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan sebaik mungkin agar kebajikan anggota sentiasa terpelihara, sekali gus memperkukuh keselamatan di Johor dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Baca juga: Malaysia terus main peranan konstruktif untuk perkukuh komuniti ASEAN – PM Anwar