Tindakan seorang pemilik rumah dipercayai meletakkan ‘bonggol jadian’ menggunakan kayu di atas jalan raya mengundang perhatian ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, dua lelaki yang menaiki motosikal dilihat hampir terjatuh dipercayai akibat tidak menyedari kewujudan kayu yang diletakkan melintang di atas jalan di hadapan sebuah rumah.
Difahamkan, kayu berkenaan sengaja diletakkan bagi menghalang penunggang motosikal daripada membawa kenderaan terlalu laju di kawasan tersebut.
Namun, tindakan itu mengundang kritikan ramai kerana dianggap berbahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan, terutama pada waktu malam atau ketika jalan kurang jelas kelihatan.
Dalam video dikongsikan pengguna Instagram @rosnah9134, individu yang merakam turut mempersoalkan tindakan pemilik rumah yang didakwa sesuka hati meletakkan kayu di tengah jalan.
Pemilik rumah bagaimanapun dilihat mempertahankan tindakannya sambil memaklumkan kawasan itu sering menjadi tempat kanak-kanak bermain.
“Tak nampak ke budak-budak tengah main? Suka hati akulah depan rumah,” katanya selepas disoal mengenai kayu yang dijadikan bonggol tersebut.
Rata-rata netizen bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan itu malah berpendapat bonggol yang lebih selamat serta mendapat kelulusan pihak berkuasa sepatutnya digunakan.
“Buatlah bonggol yang betul. Nak buat tak salah, tapi fikir juga keselamatan orang lain,” komen seorang pengguna media sosial.
“Dekat kampung aku ni jalan tak sampai 5 meter ada bonggol. Tak ada warna pula tu
Kalau jalan kaki dengan lampu malap konfom jatuh.
“Aku yang tinggal 5 tahun dekat sini dah empat kali jatuh,” komen pengguna media sosial.
“Nak bagi budak selamat main luar, kau letaklah pagar keliling rumah kau. Had tanah rumah kau sampai tepi jalan je, bukan jalan tu kau punya,” komen seorang lagi pengguna.
Baca juga: Nah senarai konsert zaman Pas perintah, aktivis tegur MP Bachok jangan hipokrit