Imbas kembali! Ini kronologi kerjaya Anwar Ibrahim dalam parti politik sebelum jadi Perdana Menteri

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sosok pemimpin yang cukup berpengalaman di Malaysia malah pernah menyandang banyak jawatan penting sepanjang kerjayanya.

Sebelum diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara, Anwar memulakan kerjayanya dalam arena politik sebaik sahaja menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) pada 29 Mac 1982.

Kerjaya Anwar berkembang dengan cukup pantas apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Umno Bahagian Permatang Pauh pada 8 Ogos 1982 sebelum diangkat menjadi Ketua Pemuda Umno pada 9 September tahun yang sama.

Pada 24 April 1987, Anwar kemudian dipilih sebagai Naib Presiden Umno sebelum naik pangkat menjadi Timbalan Presiden Umno pada 21 Oktober 1993 selepas berjaya mengalahkan Tun Abdul Ghafar Baba.

Kemenangan tersebut mendorong kepada rombakan Kabinet diterajui Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memicu perlantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Dalam tempoh sama, beliau sudah menjadi Menteri Kewangan sebelum dipecat daripada parti Umno dan kabinet menteri pada tahun 1998 susulan dakwaan rasuah dan menghalang siasatan terhadap tuduhan meliwat.

Pemecatan Anwar telah mencetuskan gerakan Reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Nasional (kini PKR) di mana beliau turut dilantik sebagai penasihat pada September 1998.

Anwar kembali ke arena politik selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan kesalahan meliwat terhadap beliau dan berjaya memenangi pilihan raya untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008.

Beberapa hari kemudian tepatnya pada 28 Ogos, beliau dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen selepas tempoh sekatannya berakhir susulan dibebaskan daripada penjara.

Pada 8 April 2015, Anwar dilantik sebagai Ketua Umum PKR sebelum diangkat menjadi Presiden PKR pada tahun 2018 dan Pengerusi Pakatan Harapan (2020) selepas membentuk gabungan bersama parti DAP dan AMANAH.

Baca juga: “Orang sekarang suka kisah artis kontroversi” – Aliff Syukri dedah sebab pilih selebriti viral