“Ramly dah dijual pada syarikat lain?” – Individu persoal tujuan sebarkan fitnah

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial satu hantaran yang mendakwa produk Ramly telah diambil alih oleh syarikat lain sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Dakwaan tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial yang mendakwa syarikat berkenaan kononnya sudah lama dijual.

Namun nama serta logo masih dikekalkan bagi mengekalkan pelanggan sedia ada.

Pemilik Threads yang memuat naik hantaran berkenaan dilihat sudah menetapkan akaun kepada privasi.

Hantaran itu kemudian dikongsikan semula oleh pengguna Facebook, Mohd Hafiz Shamshuddin, yang mempersoalkan tujuan penyebaran dakwaan berkenaan.

“Apa tujuan sang penulis reka fitnah begini?” tulisnya.

Ruangan komen turut dipenuhi pelbagai reaksi daripada orang ramai yang tampil mempertahankan syarikat makanan tempatan terkenal itu selain menafikan dakwaan berkenaan.

Seorang pengguna dikenali sebagai Se Zemi mendakwa dia pernah menghubungi syarikat tersebut secara langsung dan dimaklumkan bahawa perniagaan itu masih dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera.

“Tak betul… saya pernah hubungi sendiri syarikatnya… semuanya 100 peratus bumiputera. Fitnah ini bukan baru… sebelum ada media sosial lagi,” katanya.

Selain itu, seorang individu yang mendakwa dirinya pekerja Ramly turut tampil menyangkal dakwaan tular tersebut.

“Tak betul dan saya pekerja Ramly,” tulisnya ringkas.

Sementara itu, ada juga netizen yang meminta agar pihak berkaitan tampil memberikan penjelasan rasmi supaya kekeliruan tidak terus tersebar dalam kalangan masyarakat.

Baca juga: Nah senarai konsert zaman Pas perintah, aktivis tegur MP Bachok jangan hipokrit