Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan keputusan tidak membenarkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bukan bermaksud pihak berkenaan tidak menghargai jasa para pendidik.
Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Pengarah JAIS bertarikh 11 Mei 2026, keputusan itu dibuat berdasarkan surat edaran kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor.
Surat berkenaan menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah tahun ini.
Menurut kenyataan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS serta Kerajaan Negeri Selangor tetap menghargai jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik pelajar.
Sebagai penghargaan, satu majlis khas sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei depan bagi meraikan guru serta sekolah cemerlang.
“Majlis yang diadakan akan mengiktiraf sumbangan guru dan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000 daripada peruntukan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.
JAIS turut menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selaras dengan saranan kerajaan supaya rakyat mengamalkan perbelanjaan berhemah dan bijaksana susulan keadaan geopolitik semasa yang tidak menentu.
Selain itu, pihak berkenaan turut mengambil kira beban kewangan ibu bapa yang kebiasaannya menyediakan hadiah kepada guru sempena sambutan tersebut.
“JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, JAIS memaklumkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah mungkin dipertimbangkan semula pada masa akan datang sekiranya keadaan kembali sesuai.
Baca juga: Anwar anggap Vijay sahabat, ucap tahniah atas lantikan sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu