“Usap bawang putih kat gambar suami” – ‘Ustazah’ didakwa ajar amalan syirik

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial satu hantaran yang mendakwa amalan menyapu bawang putih pada gambar suami untuk ‘mengunci nafsu’ dan mengelakkan lelaki memandang wanita lain sebagai perbuatan syirik serta bercanggah dengan ajaran Islam.

Hantaran dimuat naik seorang pengguna Threads, Pat Hisham mengundang pelbagai reaksi netizen selepas dia berkongsi semula video daripada akaun media sosial yang mempromosikan amalan berkenaan.

Menurutnya, sebarang bentuk pergantungan kepada amalan mistik atau ritual bagi mempengaruhi pasangan dianggap bertentangan dengan konsep tawakal dan doa dalam Islam.

“Usap bawang putih kat gambar suami sama dengan sihir. Bukan amalan Islam. Nabi SAW sebut jelas: ‘Barangsiapa mendatangi dukun dan membenarkannya, dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad’,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan kandungan media sosial yang mempromosikan ritual tertentu kononnya untuk menguatkan hubungan rumah tangga.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa kurang senang selain menyifatkan kandungan sedemikian sebagai mengarut dan menyesatkan.

“Benda la tips dia kalau nak curang kau letak bawang ke minyak pengasih ke petrol ke diesel dia akan curang juga.

“Dah la gelar diri sendiri ustazah.. memang lahanat.

“Takutnya fitnah akhir zaman ni.. AI ni nampak real.

“Alahai, kalau kacak bebenor (sangat) tak pa la.. kalau muka ‘homo erectus’ buang masa aja.. kesimpulannya buang masa dan bodoh aja,” antara komen netizen.

Baca juga: Pentadbiran Anwar Ibrahim diuji, ini cabaran perlu ditempuhi untuk jaga kestabilan politik