“Hijab ni bukan sekadar fesyen” – Individu persoal jenama hijab pilih duta tak bertudung

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemilihan individu tidak bertudung sebagai duta produk hijab mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Ini adalah selepas sebuah jenama tempatan mengumumkan pelantikan beberapa personaliti terkenal bagi mewakili kempen mereka.

Isu itu mula menjadi perhatian apabila seorang pengguna Threads mempersoalkan tindakan jenama berkenaan yang didakwa tidak selari dengan imej produk Muslimah yang dibawa.

“Tak faham la, kenapa yang tak bertudung tapi dipilih sebagai brand ambassador produk hijab.

“Kan ke banyak artis dan influencer lain yang berhijab. Hijab ni bukan sekadar fesyen, tapi kewajipan kita sebagai Muslim untuk menutup aurat,” tulis pengguna tersebut.

Hantaran itu dibuat susulan pengumuman sebuah jenama hijab yang melantik beberapa individu termasuk personaliti terkenal sebagai wajah kempen mereka.

Bagaimanapun, pandangan berbeza turut diberikan akaun jenama tudung Hijabs by Hanami yang beranggapan pemilihan individu tidak berhijab sebagai duta jenama mungkin boleh menjadi asbab kepada perubahan lebih baik pada masa akan datang.

“Actually bagus sebenarnya. Macam brand min, kami pernah jadikan Farah Nabilah sebagai ambassador untuk kempen raya, then

“Alhamdulillah lepas beberapa hari sekarang dah bertudung cantik dah. Hidayah tu milik Allah kan, mana tahu jadi brand ambassador ni sebagai asbab,” katanya.

Manakala model dan pempengaruh media sosial, Maryam Younarae turut berkongsi pengalaman peribadinya apabila mendedahkan dia pernah menjadi duta kepada jenama hijab sebelum memakai tudung.

“Tiba-tiba saya teringat… Saya sebenarnya merupakan duta pertama HijabistaHub ketika saya masih belum bertudung.

“Selepas itu, saya juga berpeluang menjadi model untuk Leeyanarahman.co. Pada waktu itu, saya cuma rasa bersyukur kerana diberi peluang-peluang tersebut.

“Tapi bila fikir balik, mungkin pengalaman-pengalaman itulah yang sedikit demi sedikit membawa saya lebih dekat dengan hijab,” kongsinya.

Maryam turut mengakui tidak menyangka dirinya akhirnya berubah menjadi individu yang kini tampil berhijab sepenuhnya.

Baca juga: Pelanggan biadab tinggalkan nota pada resit “jangan sampai saya pergi kedai buang ayam atas muka”