Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan dalam rundingan untuk memeterai kerjasama dengan negara itu dalam sektor tenaga.
Sekiranya rundingan itu berjaya, Malaysia berpotensi memperoleh akses kepada zon telaga gas disifatkan antara yang terbesar di dunia menerusi jalinan kerjasama strategik melibatkan Petronas dan Turkmenistan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa peluang tersebut sangat penting untuk syarikat petroleum negara dalam menjamin keselamatan bekalan tenaga demi kesejahteraan rakyat di masa hadapan.
Beliau bagaimanapun perlu memainkan peranan dalam kepadatan jadual kerana penglibatannya sebagai Perdana Menteri diperlukan untuk proses pemeteraian perjanjian yang dirancang itu.
Khabar baik itu disampaikan Anwar ketika berucap dalam majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Batu Pahat, malam semalam.
“Ada delegasi (akan) ke Turkmenistan (pada pertengahan Jun). Saya beritahu kepada Petronas, ‘Jangan (sebab) pilihan raya lagi, nak ke sana perlu pergi dua hari’.
“Tetapi kalau saya pergi, (ada) jaminan daripada Turkmenistan. Insya-Allah, Petronas akan dapat zon telaga gas antara yang terbesar di dunia,” kata pemimpin nombor satu negara itu dalam ucapan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bahawa komitmen berterusan kerajaan diperlukan untuk menjaga kepentingan strategik negara dalam sektor tenaga selain meneroka peluang baharu pada peringkat antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, beliau sanggup mengorbankan jadual padat dengan pelbagai urusan termasuk kempen pilihan raya negeri (PRN) yang dijangkakan berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global selain menjamin keselamatan bekalan negara pada masa hadapan.
“Untuk negara, saya tidak ada pilihan. Saya pergi juga (Turkmenistan) dan mudah-mudahan kita dapat simpanan gas yang besar di rantau ini.” Ulas Pengerusi PH yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.
Pemimpin itu berharap agar komitmen dan pengorbanan tersebut membuahkan hasil yang besar kepada sektor tenaga negara kelak terutama dalam membantu pembangunan serta ekonomi negara termasuk di Johor.
Baca juga: “Hijab ni bukan sekadar fesyen” – Individu persoal jenama hijab pilih duta tak bertudung