PM Anwar umum geran RM1 juta, isu Rumah Panjang Bukit Kiara selesai dengan persetujuan ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Penantian selama 44 tahun berakhir apabila 98 keluarga di Rumah Panjang Bukit Kiara di Kuala Lumpur akan menerima dua unit rumah secara percuma menerusi penyelesaian pembangunan semula kawasan itu.

Penyelesaian tersebut sekali gus memastikan Taman Rimba Kiara terus terpelihara sebagai kawasan hijau awam sambil menjamin hak penduduk untuk mendapat kediaman yang lebih sempurna.

Khabar gembira itu turut disusuli dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai geran sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan untuk penyelenggaraan rumah panjang dalam tempoh tiga tahun.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa dana tersebut akan disalurkan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan pelaksanaan dan penyelarasan.

Isu yang berlarutan sejak 1982 itu berjaya direalisasikan hasil komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan penduduk terus terbela melalui langkah penyelesaian dipersetujui bersama.

Berikut kami senaraikan penyelesaian yang dicapai berasaskan beberapa prinsip utama seperti mana didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di platform Facebook.

  • Penduduk menerima rumah ganti yang telah lama dijanjikan dengan pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar.
  • Rumah ganti akan dibangun dan disiapkan terlebih dahulu agar penduduk dapat berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara.
  • Baki tanah daripada pembangunan itu kemudian akan diserahkan semula kepada Kerajaan Persekutuan untuk diwartakan sebagai Kawasan Lapang Awam.
  • Jumlah lot tempat letak kenderaan untuk Taman Rimba Kiara bertambah kepada 150 daripada 80 lot sebelum ini.
  • Tapak kuil sedia ada juga akan dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
  • Audit bersama dilakukan melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Friends of Bukit Kiara (FOBK) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
  • Pelaksanaan audit adalah bertujuan untuk memastikan pengurusan, pemeliharaan dan perlindungan pokok-pokok di kawasan pembangunan sentiasa terjaga.

Sekadar info, isu bermula pada tahun 1982 apabila penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara ini dipindahkan ke penempatan yang disifatkan sementara sebelum menerima rumah kekal, namun penantian terus berlarutan lebih empat dekad.

Anwar menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya memaklumkan bahawa penyelesaian ini menjadi bukti bahawa pentadbiran berteraskan nilai MADANI itu sentiasa mengangkat keutamaan dalam keadilan, ihsan dan martabat rakyat.

“Pengalaman ini mengajar kita tentang pentingnya menghormati proses perundangan serta institusi negara. Kerajaan tetap berpegang teguh kepada prinsip bahawa hak dan kebajikan golongan yang memerlukan mesti terus dipelihara.

“Dengan keadilan yang dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang selain memastikan agenda membela nasib golongan miskin bandar terus menjadi keutamaan.

“Pembangunan yang kita laksanakan mestilah bersifat inklusif dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Kerana kerana kemajuan sebenar sesebuah negara hanya bermakna apabila tiada rakyat yang tercicir atau dipinggirkan daripada arus pembangunan.” Ujarnya.

Baca juga: Ketika dunia risau krisis makanan, Malaysia sudah mula langkah strategik di Uzbekistan