PM Anwar anggap diaspora Malaysia ‘duta tak rasmi’, bantu cipta reputasi dan imej negara

Oleh MALAYSIADATELINE

Komuniti diaspora Malaysia memiliki peranan penting sebagai ‘duta tidak rasmi’ dalam membantu mencipta reputasi dan memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Ashgabat bersempena lawatan rasmi beliau ke Turkmenistan.

Dalam pertemuan tersebut, beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi komitmen Kerajaan Madani dalam usaha untuk merapatkan dan menyemarak hubungan dengan warga Malaysia yang berada di luar negara.

Usaha dilakukan demi memastikan komuniti di luar negara ini sentiasa terhubung dengan tanah air selain turut menghargai dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada nadi dan roh pembangunan bangsa.

“Alhamdulillah dapat meraikan diaspora Malaysia di Ashgabat. Meski jauh dari tanah air tercinta, semangat dan kehangatan keakraban mereka terasa seperti kita berkumpul di Kuala Lumpur.

“Mereka ini adalah duta tidak rasmi negara yang punyai nurani untuk mencipta reputasi dan imej negara, memperluas jaringan dan melonjak maruah negara ke hadapan,” kata pemimpin nombor satu negara itu.

Menerusi perkongsian sama, Anwar turut menjelaskan bahawa matlamat utama kunjungan beliau ke Ashgabat tidak hanya tertumpu kepada perkembangan dalam aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Lawatan itu sebaliknya turut dapat membantu memperluaskan persahabatan dua hala, memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kerjasama baharu yang dijangkakan memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Sekadar info, Anwar kini berada di Turkmenistan dalam kunjungan lawatan rasmi beliau selama dua hari ke negara Asia Tengah itu atas undangan daripada Presidennya, Serdar Berdimuhamedov.

Kunjungan tersebut bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan malah turut membuka ruang kerjasama strategik baharu terutama dalam sektor minyak dan gas, pertanian serta tenaga.

Baca juga: Kecoh isu ‘sunshade’ boleh disaman, ini jawapan Menteri Pengangkutan