Ramai panik data MyKad tersebar! JPN akhirnya bersuara, dedah fakta sebenar

Oleh MALAYSIADATELINE

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya berlaku kebocoran data peribadi rakyat Malaysia yang melibatkan sistem agensi itu.

Menurut JPN, dakwaan yang kembali tersebar itu sebenarnya merujuk kepada insiden lama yang telah ditangani pada tahun 2021 hingga 2022 dan tidak melibatkan sistem teras JPN.

JPN menjelaskan insiden berkenaan melibatkan sebuah agensi luar yang menyimpan data yang dikongsi bagi tujuan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

“Susulan insiden tersebut, laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dibuat pada ketika itu.

“Selain itu, mekanisme perkongsian data dengan agensi luar turut diperkukuh dan diperketatkan bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

JPN turut menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran data, transaksi mencurigakan atau kompromi keselamatan pernah berlaku melibatkan sistem teras jabatan tersebut.

Menurut kenyataan itu, sistem JPN kekal beroperasi dengan tahap kawalan keselamatan yang tinggi dan dipantau secara berterusan bagi memastikan keselamatan data rakyat sentiasa terjamin.

“Tiada rekod kebocoran data melibatkan sistem JPN, tiada akses tidak sah serta tiada insiden keselamatan yang menjejaskan sistem teras jabatan,” jelasnya.

Dalam masa sama, JPN memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan siber serta tadbir urus data bagi memastikan integriti, kerahsiaan dan keselamatan maklumat rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.

Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak disahkan di media sosial.

Baca juga: PM Anwar zahir takziah, kirim doa buat Ahli Parlimen Pas dan isteri terlibat kemalangan