Akses awal BUDI Diesel berjalan lancar, 1 juta liter minyak subsidi terjual hari ini!

Oleh MALAYSIADATELINE

Akses awal pelaksanaan subsidi bersasar, BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia berjalan dengan lancar pada hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem pengesahan kad pengenalan MyKad di stesen minyak juga beroperasi dengan baik tanpa sebarang aduan atau masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak.

Bahkan sepanjang hari pertama akses awal ini dijalankan, hampir 24,000 transaksi telah direkodkan dengan melibatkan pembelian hampir 1 juta liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada kadar harga RM2.15 seliter.

“Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan semua agensi pelaksana atas kerjasama memastikan akses awal ini berjalan teratur.

“Pelaksanaan akses awal ini merupakan persediaan kepada pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara mulai 1 Julai 2026. Mulai tarikh tersebut, warganegara yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara melalui pengesahan Mykad.

“Kerajaan Madani melaksanakan pembaharuan subsidi diesel bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi negara kekal mencukupi untuk rakyat dan sektor yang benar-benar memerlukan,” kata kementerian itu menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook.

Inisiatif ini dapat mengurangkan ketirisan serta memastikan subsidi disalurkan kepada pengguna layak dengan mengambil kira corak penggunaan diesel yang berbeza mengikut lokasi, jenis kenderaan dan keperluan operasi di seluruh negara.

Difahamkan, subsidi ini disalurkan menggunakan MyKad dengan had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan manakala pemilik kenderaan diesel persendirian melihatkan pikap dan jip pula boleh memohon tambahan 100 liter sebulan.

Hal ini kerana kenderaan tersebut perlu digunakan untuk perjalanan harian, kerja dan pergerakan ke kawasan pedalaman sekali gus menjadikan keseluruhan jumlah kelayakan mereka adalah sehingga 300 liter sebulan.

“Setakat jam 11.00 pagi, 28 Jun, portal rasmi BUDI MADANI telah menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan 100 liter sebulan untuk pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.

“Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), mengikut kategori serta keperluan operasi masing-masing.

“KPDN juga akan menyelaras pelaksanaan subsidi bagi kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip yang layak, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun,” kongsi kenyataan tersebut.

Kementerian itu menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan juga bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel.

Strategi penting tersebut dilakukan untuk memastikan tiada golongan memerlukan tercicir daripada bantuan subsidi khususnya rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel serta menambah baik pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat dan industri.

“Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel atau mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN.” Ujar kenyataan itu lagi.

Baca juga: PM Anwar umum tambang percuma 30 hari, tanda penghargaan Kerajaan Madani