PM Anwar rendah hati rayu mandat diberi kepada calon PH pimpin Johor

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rendah hati merayu agar rakyat Johor mengundi calon gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 akan datang.

Rayuan tersebut dibuat beliau yang juga Perdana Menteri itu menerusi hantaran di platform Facebook dengan harapan gabungan dipimpinnya diberi kepercayaan untuk menerajui pentadbiran Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Anwar juga memberi jaminan bahawa amanah yang kelak diberikan oleh rakyat Johor itu akan dipikul oleh wakil rakyat PH dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan sesekali disia-siakan.

“Saya merayu dengan penuh rendah hati agar saudara-saudari memberikan mandat kepada calon-calon HARAPAN untuk memimpin negeri Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Insya-Allah, amanah ini akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan sesekali disia-siakan,” kata pemimpin nombor satu negara itu dalam perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkongsikan potongan ayat suci al-Quran daripada Surah An-Nisa, ayat 58, yang menekankan kepentingan dalam menyampaikan amanah kepada yang berhak serta menegakkan keadilan sesama manusia.

Menerusi perkongsian sama, beliau turut memuat naik gambar beberapa calon PH yang akan bertanding pada PRN Johor dan mengakhiri hantaran itu dengan slogan ‘Johor Ke Depan, Undi HARAPAN’.

Sekadar info, PH akan mempertaruhkan calon mereka di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor yang dijangka berlangsung pada bulan depan itu.

Antara calon yang dipaparkan dalam hantaran itu adalah Rozy Rasit (DUN Buloh Kasap), Ng Kor Sim (DUN Jementah), Jalex Lee En Xiang (DUN Pemanis), Mohd Afif Abd Hamid (DUN Kemelah) dan Elia Nadira Sabudin (DUN Tenang).

Baca juga: Boleh ke polis buat macam ini? Wanita terkejut telefon tunang dirampas, galeri digeledah tanpa izin…