PM Anwar turun kempen PRN dukung calon PH, jadual padat bertemu rakyat Johor hari ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semakin hangat dengan kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘turun padang’ untuk memberi dukungan kepada calon serta jentera parti politik pimpinannya.

Beliau yang juga Perdana Menteri itu akan menghadiri pelbagai siri kempen dan ceramah dengan melibatkan tujuh program hari ini untuk menyampaikan amanat terus kepada rakyat menjelang hari pengundian pada Sabtu depan.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Presiden PKR itu turut mengalu-alukan kehadiran warga Johor untuk turut serta dalam program-program yang dijadualkan bakal diadakan di serata negeri selama dua hari.

“Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga ikhtiar ini dipermudah dan diberkati. Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” kata Ahli Parlimen Tambun itu dalam perkongsian di akaun Facebook miliknya.

Pemimpin nombor satu negara itu turut berkongsi jadual padatnya dalam hantaran sama bermula dengan sesi menyantuni pengundi menerusi Program Kita Geng MADANI x Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika, Kulai hari ini pada 3.30 petang.

Beliau kemudian menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Pimpinan Masyarakat Johor di Taman Abad, Johor Bahru pada jam 4.50 petang, sebelum menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) di Taman Melor, Tampoi pada 6 petang.

Anwar juga akan beramah mesra dengan masyarakat melalui program Malam Kebudayaan India Harapan Bersama PMX di Taman Tampoi Indah pada 7.45 malam sebelum Majlis Makan Malam Komuniti Cina Bersama PMX pada pukul 8.35 malam.

Golongan muda juga berpeluang menemui Anwar dalam sesi Dialog Belia Johor di Dewan Felda Ulu Tebrau pada 9.30 malam sebelum jadual diakhiri dengan program Malam Anak Muda Kempas di pekarangan Medan Selera Cempaka, Kempas pada 10.45 malam.

Tidak terhenti di situ, Anwar turut dijadualkan untuk mengisi lapan lagi program dalam rangka kempen PRN pada keesokkan harinya bagi memberikan dukungan kepada kesemua 56 calon serta jentera serta jentera gabungan parti PH.

Sekadar info, PH mempertaruhkan 56 calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP sekali gus menyaksikan pertarungan sengit untuk PRN Johor kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebelum ini menetapkan 11 Julai 2026 sebagai tarikh PRN Johor Ke-16 manakala hari mengundi awal pula dijadulkan berlangsung pada 7 Julai depan.

Baca juga: Lebih RM429 juta disalur! KDN perkasa kebajikan anggota penguat kuasa di Johor