PRN Johor: Peratus keluar mengundi awal cecah 92.86 peratus setakat jam 3 petang

Oleh MALAYSIADATELINE

Kadar peratusan keluar mengundi untuk pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada hari ini sudah mencecah 92.86 peratus setakat pukul 3.00 petang tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi perkongsian infografik ringkas berhubung peratusan keluar mengundi di platform Facebook sebentar tadi.

Difahamkan daripada jumlah tersebut, sebanyak 93.43 peratus pengundi daripada kalangan anggota dan pengawai polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan mereka sudah keluar mengundi.

Manakala untuk pegawai dan anggota tentera bersama pasangan mereka pula, dilaporkan sejumlah 92.05 peratus pengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka.

Maklumat infografik yang dimuat naik oleh SPR menerusi platform Facebook sebentar tadi.

Sekadar info, hari pengundian awal PRN Johor berlangsung pada hari ini hanya membabitkan anggota tentera, polis serta pasangan masing-masing yang layak mengundi.

Keputusan penuh bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dijangka dapat diumumkan sebelum tengah malam pada hari pengundian.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor susulan pembubaran DUN negeri itu manakala pengundian awal pula berlangsung pada hari ini.

Baca juga: Anwar beri bayangan PLKN belum selesai, mahu program terus diperkasa demi bina jati diri rakyat