Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan awal.
Terutamanya dalam aspek kesihatan, kewangan, kemas kini maklumat serta penguasaan ilmu ibadah bagi memastikan urusan menunaikan rukun Islam kelima itu berjalan lancar.
TH dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu penting bagi membantu bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah) dan melayakkan mereka menerima surat tawaran haji apabila tiba masanya.
Menurut kenyataan itu, bakal jemaah digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal selain meningkatkan kecergasan fizikal dan mental memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan badan yang tinggi, terutama ketika berada dalam persekitaran sesak, cuaca panas dan berdebu.
“Mereka dijangka perlu berjalan sekitar 10,000 langkah atau kira-kira tujuh kilometer sehari, khususnya ketika melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina,” menurut kenyataan itu.
Dari segi kewangan, TH menggalakkan bakal jemaah meningkatkan simpanan secara berkala dan konsisten.
Sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum kelayakan untuk menerima surat tawaran haji, syarat yang mula diperkenalkan sejak musim haji 1447H/2026M.
TH turut memaklumkan kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum ditetapkan. Bagaimanapun, kos haji musim 1447H/2026M sebanyak RM33,300 seorang boleh dijadikan rujukan awal bagi merancang simpanan.
Selain itu, TH menyediakan kemudahan simpanan berkala melalui potongan gaji dan potongan terus daripada akaun bank (direct debit) menerusi platform THiJARI.
Bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan ibadah haji, Kursus Asas Haji akan bermula pada 25 September 2026 dan terbuka kepada bakal jemaah serta orang awam.
TH turut mengingatkan bakal jemaah supaya memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa berada dalam status aktif serta mempunyai tempoh sah laku yang mencukupi.
Mereka juga disaran menyemak dan mengemas kini rekod peribadi melalui aplikasi THiJARI atau di cawangan TH berhampiran supaya mudah dihubungi bagi urusan berkaitan haji.
Menurut TH, maklumat peringatan awal akan disampaikan melalui aplikasi THiJARI, pesanan SMS dan e-mel rasmi kepada bakal jemaah dalam giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M sebagai persediaan awal.
TH menegaskan bahawa surat tawaran rasmi untuk menunaikan haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan.
Baca juga: Johor memiliki prasyarat jadi negeri maju, pilih pentabdiran bijaksana dan berintegriti – PM Anwar