Kementerian Kewangan (MOF) tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang sering dihadapi penerima BUDI MADANI apabila jumlah yang dipaparkan pada pam diesel berbeza dengan jumlah sebenar yang perlu dibayar.
Menerusi satu hantaran di Facebook, kementerian itu menjelaskan perbezaan tersebut adalah perkara biasa kerana paparan pada pam menunjukkan harga diesel tanpa subsidi.
Manakala bayaran sebenar akan dikira semula mengikut kadar subsidi BUDI Diesel yang diterima pengguna.
“Ramai yang tertanya-tanya kenapa jumlah di pam berbeza dengan jumlah yang saya bayar dan di mana nak semak baki liter kelayakan.
“Jom kami terangkan cara membaca paparan di pam, memahami resit BUDI MADANI dan menyemak baki liter kelayakan anda,” menurut hantaran itu.
Sebagai contoh, bagi pengisian 9.523 liter diesel ketika harga pam RM3.97 seliter, paparan pada pam akan menunjukkan jumlah RM37.81.
Bagaimanapun, penerima BUDI Diesel hanya perlu membayar RM20, berdasarkan kadar bersubsidi RM2.10 seliter bagi jumlah liter yang sama.
Kementerian itu turut menjelaskan resit pembayaran akan memaparkan maklumat lengkap termasuk harga asal di pam, harga selepas subsidi, jumlah liter bersubsidi dan amaun sebenar yang dibayar.
Selain itu, penerima juga boleh menyemak baki liter kelayakan yang masih berbaki melalui resit atau sistem BUDI MADANI selepas setiap transaksi.
Menurut MOF, baki liter akan ditolak secara automatik mengikut jumlah diesel bersubsidi yang diisi, sekali gus memudahkan penerima memantau baki kelayakan mereka sepanjang bulan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa membawa MyKad ketika mengisi diesel bagi menikmati subsidi di bawah program BUDI MADANI.
Kementerian turut menggalakkan orang ramai berkongsi infografik berkenaan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai mekanisme pembayaran BUDI MADANI.
Baca juga: Kerjasama kerajaan pusat-negeri kunci pembangunan, keperluan rakyat lebih terjamin – PM Anwar