Industri perbankan memperkenalkan tiga inisiatif baharu bagi membantu rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan cabaran kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.
Kementerian Kewangan memaklumkan inisiatif itu merangkumi pengenalan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di ATM bank dan bantuan bersasar kepada peminjam serta PMKS yang terjejas.
Menurut kementerian itu, Kad Kredit Asas menawarkan kadar pembiayaan lebih berpatutan dengan kadar maksimum 14 peratus setahun, berbanding sehingga 18 peratus bagi kad kredit biasa.
Selain itu, pemegang kad kredit sedia ada juga dibenarkan memindahkan baki tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa dikenakan caj atau bayaran.
Bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kewangan, caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai di ATM bank telah dimansuhkan sepenuhnya berkuat kuasa 1 Julai lalu, melibatkan lebih 14,000 mesin ATM di seluruh negara.
Dalam pada itu, bantuan bersasar turut disediakan kepada peminjam dan PMKS yang menghadapi kesukaran, termasuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran serta lanjutan tempoh pembiayaan.
Bagi PMKS pula, Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion disediakan, dengan RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun lalu, memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 PMKS.
Kementerian memaklumkan baki RM4 bilion lagi masih tersedia, manakala permohonan akan diproses dalam tempoh tujuh hari bekerja.
Sejak akhir April lalu, lebih RM4.7 bilion pembiayaan turut diproses melibatkan lebih 1,100 peminjam menerusi pelbagai mekanisme bantuan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan kos sara hidup serta aliran tunai, institusi kewangan perlu memainkan peranan lebih besar dalam membantu pelanggan.
“Dalam keadaan rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan berperanan penting membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.
“Hatta, saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut saranan Kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, inisiatif berkenaan mencerminkan kerjasama antara Kerajaan MADANI dan industri perbankan dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.
Baca juga: PM Anwar turun Johor hadiri 3 program hari ini, semarak kempen PH sempena PRN 16