Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akaun bank tidak akan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Kementerian Kewangan (MoF) menyasarkan pelaksanaan 10 program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara tunai di seluruh Semenanjung Malaysia.
Inisiatif itu membolehkan penerima yang berdepan kekangan akses kepada perkhidmatan perbankan mendapatkan bantuan secara lebih mudah, selamat dan teratur.
Program penunaian STR di Cameron Highlands merupakan lokasi keenam dilaksanakan tahun ini dan yang pertama di daerah berkenaan.
Pelaksanaan itu sekali gus melengkapkan siri program yang turut diadakan di beberapa lokasi lain termasuk Gua Musang, Rompin, Sungai Chincin dan Sungai Siput.
Dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial, kerajaan telah meningkatkan peruntukan bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024.
Di Cameron Highlands sahaja, seramai 2,474 masyarakat Orang Asli layak menerima manfaat menerusi kedua-dua inisiatif berkenaan.
Program tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira lokasi atau kekangan akses kepada perkhidmatan perbankan.
Selepas program penunaian STR, Johan turut meninjau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel di sebuah stesen minyak di Ringlet, Cameron Highlands.
Tinjauan itu dilakukan bagi melihat kelancaran pelaksanaan inisiatif berkenaan selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna.
Baca juga: Maszlee Malik satu-satunya wakil PKR menangi kerusi, akan bela nasib rakyat Puteri Wangsa