Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas membeli sebekas pencuci mulut ‘cheesekut’ di sebuah pasar malam di Jeniang, Kedah.
Dalam video dikongsikan di Threads, wanita itu menunjukkan bukti pencuci mulut yang dibelinya, yang hanya mengandungi kepingan biskut Hupseng dan lapisan krim “icing”, tanpa rasa keju.
Dalam hantaran tersebut, wanita berkenaan mempersoalkan mengapa makanan itu dinamakan “cheesekut” sedangkan menurutnya, tiada rasa atau kandungan keju yang jelas.
“Kau tulis cheesekut, ini apa benda? Cheesekut apa ni? Satu cheese pun tak ada, kau letak icing? Sumpah aku tak halalkan,” luah wanita itu.
Lebih mengecewakan, dia mendakwa pencuci mulut itu dijual pada harga RM15 sebekas, yang dianggap langsung tidak berbaloi.
“Harga RM15 sebekas. Kononnya bagi diskaun RM10 kepada saya. Macam ini memang tak layak langsung,” katanya.
Gambar yang dikongsikan turut menunjukkan beberapa kepingan biskut Hupseng yang masih keras bersama lapisan krim putih.
Di ruangan komen, ramai bersetuju dengan perkongsian tersebut, mengatakan makanan tersebut langsung tidak menyerupai cheesekut.
Netizen turut berkongsi pengalaman membeli pencuci mulut di pasar malam yang didakwa tidak setanding dengan harga, manakala ada yang menyifatkan hidangan itu lebih menyerupai biskut Hupseng yang dicicah krim berbanding cheesekut sebenar.
Ramai meluahkan rasa kecewa dengan sikap peniaga zaman kini yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kualiti makanan mereka.
Baca juga: PM Anwar tetapkan hala tuju FELDA, kebajikan peneroka dan generasi baharu jadi keutamaan