“Saya bagi lebih daripada sepatutnya” – Amin Idris dakwa dua kali disaman darah daging sendiri

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengacara Amin Idris mendakwa berdepan pengkhianatan daripada individu yang dianggapnya seperti anak sendiri apabila disaman sebanyak dua kali.

Namun kedua-dua tuntutan itu akhirnya gagal selepas Amin mengemukakan bukti dan resit kepada pihak berkuasa berkaitan.

Menerusi satu hantaran di Threads, Amin berkata individu terbabit sebelum ini memfailkan tuntutan di Mahkamah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan mendakwa dia menzaliminya dan membayar gaji yang rendah.

Bagaimanapun, Amin mendakwa tuntutan itu gagal selepas dia berjaya mengemukakan pelbagai bukti termasuk resit pembayaran.

“Berkaitan kes darah daging sendiri mengkhianati saya yang pernah saya kongsi dulu, dia saman saya di Mahkamah JTK menuduh saya menzalimi dia, bayar gaji rendah.

“Tapi tuntutan dia gagal kerana saya berjaya buktikan sebaliknya, malah saya bagi lebih kepadanya sejak hari pertama dia jejak kaki ke rumah saya dan anggap dia bagaikan anak sendiri.

“Segala bukti resit dikemukakan,” tulisnya.

Menurut Amin, walaupun tuntutan itu tidak berjaya, dia tetap memberikan sejumlah wang ehsan kepada individu berkenaan bagi membantunya meneruskan kehidupan.

Namun, Amin mendakwa individu sama kemudian memfailkan satu lagi tuntutan terhadapnya di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM).

“Walaupun tuntutan dia gagal, namun saya tetap memberi sejumlah wang ehsan untuk dia survive dalam hidup.

“Namun begitu, dalam senyap-senyap dia saman saya lagi di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia.

“Semalam saya menerima e-mel dari JPPM, sekali lagi tuntutan dia gagal malah ditolak oleh JPPM,” katanya.

Susulan pengalaman itu, Amin turut berkongsi beberapa pengajaran yang menurutnya wajar dijadikan peringatan.

Ini termasuk kepentingan menyimpan dokumentasi dan resit sebagai bukti sekiranya berdepan sebarang pertikaian pada masa hadapan.

Amin turut mengingatkan orang ramai supaya berbuat baik secara berpada-pada serta tidak mengkhianati keluarga demi kepentingan wang atau perkara lain.

“Buat dokumentasi yang baik, simpan resit-resit berkenaan. Kerana di zaman penuh fitnah ini, darah daging sendiri boleh jadi ‘lupa diri’ dan pengkhianat.

“Buat anak-anak muda, jangan kerana duit dan wanita, kau sanggup mengkhianati dan membuang keluarga,” ujarnya.

Baca juga: PM Anwar tetapkan hala tuju FELDA, kebajikan peneroka dan generasi baharu jadi keutamaan