Walaupun tidak semua, namun dapat dilihat ramai anak selebriti sering tampil dengan barangan berjenama bernilai puluhan ribu ringgit.
Bukan sesuatu yang mengejutkan, kerana mereka sedar ibu bapa masing-masing mampu menyediakan gaya hidup mewah itu.
Anak perempuan kepada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri, Qadejah El Zahra mendedahkan hadiah yang diminta sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-15.
Bukan biasa-biasa, tapi apa yang diminta Qadejah adalah seutas gelang tangan berharga sekitar RM25,000 yang hanya boleh didapati di butik berjenama mewah di luar negara lapor Gempak.
“Saya ada minta hadiah gelang daripada abah, harganya sekitar RM25,000. Saya ada lihat dalam website atas talian baru-baru ini.
“Saya mula minat gelang itu sejak beberapa minggu lalu. Gelang itu kalau nak beli kena pergi luar negara, di Malaysia tiada.
“Abah saya kaya, kacak dan menawan. Harap dia belikan saya hadiah itu,” katanya seperti dipetik Gempak
Dalam masa sama, Qadejah meluahkan rasa syukur untuk semua nikmat dan rezeki yang dinikmatinya sebelum ini.
“Sudah 15 tahun dan semakin meningkat remaja, kadang kala berada di situasi apa kita nak buat dengan usia yang masih muda. Belum juga terlalu tua untuk buat keputusan.
“Saya masih dalam fasa menemui diri sendiri, namun saya sangat bersyukur dengan kehidupan saya.
“Saya gembira memilih abah dan mama yang terbaik serta adik-beradik yang begitu penyayang,” tambahnya.