“Ada air mani pada dubur bayi sembilan bulan”

Oleh ROSLAN ZAMAN

Seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didakwa meliwat dan membunuh anak asuhan isterinya yang berusia sembilan bulan

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamed Badruldin Mohamed,40, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan manakala 30 tahun, 12 sebatan bagi kes membunuh bayi malang itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021.

Dalam pembacaan fakta kes, terdapat kesan asid deoksiribonukleik (DNA) dan ekstrak air mani milik tertuduh di dubur dan usus besar bayi itu.

Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh ketika itu, Dr Rohayu Shahar Adnan mengesahkan wujudnya kecederaan akibat objek tumpul pada dubur mangsa.

Pada hari kejadian, pengasuh, Norhidayah Ab Hamid memberitahu ibu mangsa, Robiatul’ Adawiah Aziz bahawa anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tidak sedarkan diri.

Pada jam 7 malam, sepasukan doktor dan jururawat membuat teknik bantuan asas hayat atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan dan empat jenis ubat jantung selain menstabilkan tekanan darah.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.18 tengah hari, 28 April 2021.