Pendedahan dibuat pelakon, Ako Mustapha mengenai kejadian buli didakwa dialami oleh anaknya iaitu Mikael Iskandar membongkar perkara sebenar yang selama ini dihadapi oleh kanak-kanak berusia 10 tahun itu.
Sebelum menjadi mangsa buli pelajar senior dan murid sekelasnya secara fizikal, Mikael rupanya selalu ‘dipau’ atau dipaksa menyerahkan sejumlah wang sekiranya tidak mahu barang-barangnya dirosakkan.
Perkara itu hanya terbongkar selepas dimaklumkan oleh ibu bapa kepada pelajar lain yang hadir melawat Mikael di hospital sewaktu menerima rawatan akibat kecederaan dialami susulan dibuli secara fizikal.
Menerusi pendedahan dimuat naik di platform Threads, pemilik nama sebenar Muhaizad Ahmad Mustapha itu menjelaskan bahawa perkara tersebut dimaklumkan bersama bukti berbentuk rakaman video.
“Masa itu, isteri jaga anak lelaki saya dekat hospital. Ibu kepada salah seorang pelajar sekelas Mika datang. Dia tunjuk video dekat isteri di mana kawan-kawan sekelas Mika beritahu bahawa pelaku suka ‘pau’ duit Mika.
“Kalau Mika tak beri, budak-budak itu akan merosakkan barang-barang Mika. Baru saya teringat balik. Sebelum ini, Mika selalu minta duit RM10 atau RM20 dan cakap nak belanja kawan-kawan makan,” kongsinya.
Mengulas lanjut, Ako mengakui tidak merasa curiga sebelum ini malah menyangka anaknya sememangnya dengan rela hati berbelanja buat ‘rakan-rakan’ malah sering membelikan mereka makanan ringan.
Ako dalam perkongsian sama turut meluahkan rasa kesal dan hairan bagaimanakah pelajar yang masih bersekolah rendah termasuk yang baru berusia 10 tahun boleh berkelakuan sedemikian.
“Setiap hari balik dari sekolah Mika akan meminta saya untuk singgah dahulu di kedai serbaneka. Dia cakap nak belikan kawan-kawan gula-gula dan keropok. Jadi rasa macam baiknya anak saya ini, pemurah.
“Saya layan dari awal tahun. Rupanya selama ini, Mika kena pau. Rakan sekelas Mika beritahu sendiri kepada isteri saya. Budak-budak sekarang apa nak jadi. Kalau sekolah menengah saya faham, ini baru 10 tahun.” Kesalnya.
Terdahulu, Ako mendakwa anaknya menjadi mangsa buli fizikal dua pelajar senior dan tiga murid sekelasnya sehingga meninggalkan kesan tumbukan dan tapak kasut di perut kanak-kanak berusia 10 tahun itu.
Laporan polis sudah dibuat namun Mikeal dikhabarkan mengalami trauma selepas dibuli selain masih terdapat kesan lebam di bahagian belakang pinggang manakala bengkak pada perutnya sudah hilang.