Seorang wanita meluahkan rasa kesal selepas mendakwa berlaku insiden tidak wajar di surau sebuah hospital apabila seorang lelaki didakwa mengambil gambar seorang wanita yang sedang berehat tanpa bertudung.
Perkara itu dikongsikan menerusi media sosial oleh individu dikenali sebagai Lyna Rosdy, yang mendakwa kejadian berlaku di surau wanita di sebuah hospital di Kajang.
Dalam perkongsiannya, wanita itu turut memuat naik dakwaan lengkap mengenai situasi yang berlaku:
“Maaf lah, nak meluah perasaan sikit. Baru jap ni aku gaduh dengan sorang hamba Allah konon alim sanat.
“Boleh selak tirai surau di Hospital Kajang dan ambil gambar perempuan tengah baring tanpa tudung. Memang kena sergah lah dengan aku. Biadap sangat,” tulisnya di Threads.
Menurutnya, selepas menegur lelaki terbabit, individu itu memaklumkan gambar diambil sebagai simpanan sekiranya ada apa-apa terjadi.
“Lepas tu dia cakap untuk simpanan kalau jadi hal? Apa masalah kalau orang baring melepas lelah kejap dekat surau hospital?
“Kau cakap pandai agama, tapi kau ambil gambar orang perempuan tak pakai tudung. Tolong la pihak Hospital Kajang ambil tindakan,” tegasnya.
Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai pelanggaran privasi, khususnya di ruang ibadah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk orang ramai.
“Buat laporan. Dia alim atau tidak bukan isu. Fokus isu saja. Apa dia buat? Salah? Kalau salah terus laporkan. Jangan biarkan. Siapa pun yang buat,” komen Muhammad.
“Alasan je tu, sila buat laporan. Kalau tak boleh tidur sekalipun bukan alasan untuk dia ambik gambar, aurat orang kot,” komen pengguna Threads.
“Ya Allah phone dia patut kena rampas untuk padam gambar,” komen seorang lagi pengguna Threads.
Baca juga: Lelaki terkejut makan di restoran tapi kena caj pinggan, sudu dan meja sekali