‘Aku tak ada daya, hanya mampu doa’ – Ebby Yus sebak terima kejutan kedua daripada Ajak

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon dan pelawak terkenal, Ajak Shiro, sekali lagi mencuri perhatian apabila membuat kejutan kedua kepada pelawal Ebby Yus.

Menerusi hantaran dimuat naik di media sosial, Ajak berkongsi dia membuka satu cawangan baru di Kampung Baru yang berdekatan dengan rumah Ebby untuk memudahkannya.

Menurut Ajak, langkah itu diambil kerana kagum dengan sikap rajin dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Ebby, yang sering hadir ke kedai walaupun tanpa diminta.

“Abang Ebby ni rajin sangat. Dia selalu datang kedai, sampai kita pula rasa segan. Bila tengok dia selalu ada, saya jadi kesian.

“Kita fikir macam mana nak buat supaya dia tak penat, tapi dia masih boleh datang ke kedai,” kata Ajak dalam video tersebut.

Cawangan terbaru itu, jelas Ajak, akan diselia oleh Ebby sepenuhnya sama seperti peranan yang dipegangnya di cawangan Pasar Seni sebelum ini.

“Alhamdulillah, kita dapat buka lagi satu cawangan. Dan cawangan ni pun sama macam sebelum ini di bawah jagaan abang Ebby.

“Dia memang suka datang kedai, bukan sebab apa pun, tapi sebab dia suka bersembang dengan pelanggan,” tambahnya.

Ebby yang nyata terharu dengan penghargaan itu meluahkan rasa syukur atas kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh Ajak.

“Terima kasih banyak-banyak, Ajak. Aku tak tahu nak cakap macam mana… Dalam keadaan sekarang ni, aku memang sangat bersyukur. Alhamdulillah,” katanya sambil menahan sebak.

Pada masa sama, Ebby turut mendoakan agar seluruh pasukan perniagaan mereka terus dikurniakan rezeki berpanjangan oleh Allah SWT.

“Aku selalu doa, bukan untuk aku je… untuk kau dan semua team. Moga Allah beri kita semua rezeki yang melimpah ruah.

“Dapat kongsi rezeki tu dah cukup buat aku. Aku tak ada daya upaya lain, cuma mampu doa,” tambahnya.

Baca juga: ‘Kena paksa diri pakai tudung, mati tak kenal masa’ – Amyra Rosli