Alasan tumpang tidur sebab tempat kerja sama, lelaki ditangkap khalwat di rumah kekasih

Oleh WAN SITI AMINAH

Helah seorang lelaki dari Kulim, Kedah yang kononnya hanya menumpang tidur di rumah kekasih tidak berhasil apabila ditahan atas kesalahan berkhalwat.

Menurut lelaki berusia 23 tahun itu, dia ‘terpaksa’ menumpang bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik kerja berikutan tempat tinggalnya terletak ajak jauh.

Bijak mengambil kesempatan, ibu kepada teman wanitanya berada di kediaman anak (abang kekasih pelaku) di Pahang manakala bapa tirinya pula tiada di rumah.

Lelaki itu bersama pasangannya dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), pada tengah malam semalam.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, berkata pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan maksiat itu pada pukul 12.13 malam.

Anwar memaklumkan, pemeriksaan dalam sebuah rumah yang terletak di Taman Mutiara, Sungai Kob, Karangaan, Kulim itu diketuai oleh pegawai bernama Azwan Azman.

Menurutnya, seorang wanita membuka pintu untuk membenarkan pemeriksaan dalam rumah tersebut selepas pintu diketuk dan diberi salam, lapor Berita Harian.

“Kami menemui seorang lelaki berada dalam bilik kedua rumah terbabit dan hasil soal siasat, kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mahram.

“(Pelaku) tidur di bilik sama sehingga menimbulkan syak berlakunya maksiat. Wanita dan pasangannya masing-masing berusia 23 tahun itu masih belum berkahwin.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Kedua-dua pelaku yang ditahan itu bekerja di tapak pesta ria di taman perumahan berkenaan dan lelaki terbabit menetap di Sungai Ular yang terletak dalam daerah sama.

Pasangan yang ditahan itu kemudian dibawa oleh Pegawai Penguatkuasa ke Balai Polis Sungai Kob untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.” Jelasnya.

Baca juga: Tumpangkan nenek misteri waktu maghrib, wanita terkejut dapat tahu bayi dalam kandungan hilang