“Allah tak pernah abaikan sesiapa”, berderai air mata dengar doa Angeline buat Dina Nazir

Oleh WAN SITI AMINAH

Pasangan pengantin baharu, Sabri Yunus dan Angeline Tan baru-baru ini diraikan dalam satu majlis yang dianjurkan oleh sebuah stesen radio tempatan.

Dalam majlis resepsi serba ringkas namun meriah itu, Angeline turut menyempatkan diri untuk menyapa seorang penyanyi yang juga penyampai radio, Dina Nadzir.

Pertemuan penuh mengharukan itu sempat dirakam sebelum dikongsi melalui satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun TikTok milik stesen radio, @sinar_my.

Menerusi video tersebut, pemilik nama penuh Ardini Angeline Tan itu dilihat tidak mampu menahan sebak ketika memeluk Dina sambil menitipkan doa buatnya.

Sempat menzahirkan rasa syukur, bintang Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu sama sekali tidak pernah menduga bakal dikurniakan hidayah dan juga jodoh di usia 56 tahun.

Oleh yang demikian, Angeline dengan berbesar hati mendoakan agar penyampai radio kelahiran Johor Bahru itu dikurniakan jodoh terbaik dari Yang Maha Esa.

“Saya doakan awak, okay. Saya doakan agar awak juga akan diberikan jodoh yang baik suatu hari nanti. Saya tak sangka pada usia 56 tahun saya akan dapat semua ini.

“Terima kasih Allah untuk semua ini. Allah tak pernah abaikan sesiapa, itu apa yang saya fikir. Setiap hari adalah hari yang baik. Allah memberikan kita hari yang baik setiap hari.

“Insya-Allah tak pernah ada hari yang tak baik,” kata Angeline kepada Dina yang tidak berhenti mengalirkan air mata ketika berpelukan dengan wanita mualaf itu.

Terharu dengan nasihat dan doa diberikan oleh pelakon berketurunan Cina itu, Dina sempat mengucapkan terima kasih sebelum mereka berdua meleraikan pelukan.

“Insya-Allah terima kasih. Saya sangat gembira untuk awak.” Ujar Dina.

Terdahulu, Angeline dan suaminya, pelakon dan pengarah terkenal iaitu Sabri Yunus selamat diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup di Perlis pada 14 Oktober lalu.

Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang lebih mesra dikenali sebagai Dr Maza.

Untuk rekod, pasangan yang berkenalan pada tahun 1992 ketika sama-sama membintangi drama Pak Din KK itu hanya mula rapat pada tiga tahun lalu.

Sabri pernah berkahwin dengan Norraya Mohd Yusuf dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum wanita itu meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2007.

Manakala Angeline pula pernah memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.

Baca juga: “Perbelanjaan rumah aku yang tanggung, luluh hati bila suami sanggup buat perkara ini”