AMANAH, PH perlukan muka, imej baharu menjelang PRU 15

Oleh BORHAN AHMAD

AMANAH dan Pakatan Harapan bukan sahaja memerlukan muka baharu sebagaimana Adly Zahari untuk memimpin bahkan juga memerlukan imej dan watak baharu menjelang pilihan raya umum ke 15.

Bagi para penganalisis politik, Adly adalah contoh muka baharu yang perlu ditonjolkan dan naik dalam hireki parti.

HISOMUDDIN BAKAR

Penganalisis politik dari Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, perlantikan Adly selaku Naib Presiden AMANAH yang baharu adalah satu tindakan yang wajar bagi memberi ruang untuk pimpinan pelapis naik dalam persada politik.

“Ia isyarat baik bahawa AMANAH sedia menerima wajah baharu dan tidak tandus kepimpinan pelapis,” kata Hisom kepada Malaysia Dateline.

Menurut beliau, cabaran besar yang bakal dihadapi Adly adalah untuk membawa mesej dan membuktikan bahawa pimpinan pelapis diberi ruang bukan sahaja dalam AMANAH bahkan yang lebih besar adalah Pakatan Harapan.

“AMANAH perlu mengambil kira muka baru dan suara baru dalam parti. Ini perkara yang sudah lama kita bincang. Imej untuk menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini perlu ditonjolkan dalam AMANAH dan PH.

“Pimpinan lama dalam AMANAH dan PH perlu memberi ruang kepada muka baharu bagi membentuk imej baharu dan kalau perlu ada yang berundur dari politik menjelang PRU 15 untuk membina imej dan citra baharu ini,” kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, sebuah pusat kajian pilihan raya itu.

Hisom mengambil contoh tindakan yang diambil oleh pimpinan Umno iaitu Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang berkata beliau tidak lagi akan bertanding dalam PRU akan datang.

“Saya trigger dengan tindakan Nazri yang umumkan persaraan beliau. Jika pemimpin utama atau anchor parti mengambil tindakan dan memberikan ruang lebih besar kepada pimpinan muda dan pelapis, ia satu perkembangan yang baik,” kata Hisom.

Bagi beliau, Adly adalah muka baru dalam AMANAH yang hanya mula dikenali selepas beliau berjaya menjalankan tugas dengan baik selaku Ketua Menteri Melaka salama 22 bulan sebelum ini.

“Jika ruang diberikan lagi, saya yakin ramai lagi muka-muka baru akan menonjol bukan sahaja dalam AMANAH bahkan semua parti politik,” kata beliau.

KE BARISAN DEPAN

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Dr Abdul Latif Ibrahim berpendapat pemimpin seperti Adly perlu berada di barisan depan bukan lagi di barisan kedua AMANAH dan Pakatan Harapan.

DR LATIF IBRAHIM

“Bagi saya, pimpinan AMANAH yang ada agak sukar untuk diterima oleh pengundi muda terutamanya bila Undi 18 dilaksanakan.

“Pemimpin yang ada sudah agak tua, lebih dari 60 tahun umur mereka dan agak terputus dengan golongan  muda.

“Pengundi muda perlukan muka baharu seperti Adly untuk membolehkan AMANAH dan PH diterima oleh golongan muda,” kata bekas profesor di UTM Kuala Lumpur itu.

Beliau juga mencadangkan agar AMANAH mempunyai satu sistem peralihan kuasa dalam usaha untuk melahirkan kepimpinan yang berkaliber dan berkualiti di masa depan.

“Bagi saya AMANAH perlu ada satu institusi kepimpinan yang mencari, melatih dan melahirkan pemimpin untuk memimpin parti di masa depan.

“Ia perkara yang perlu dilakukan oleh AMANAH dan perkara ini perlu dilakukan dengan c epat,” kata beliau.

Bagi beliau, Adly antara tokoh tepat untuk dinaikkan berdasarkan track record dan pencapaian beliau sebelum ini.

“Saya berharap selepas ini beliau akan naik ke jawatan yang lebih tinggi, timbalan presiden misalnya dalam beberapa tahun lagi,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Semalam Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu mengumumkan perlantikan Adly, 50, selaku naib presiden baharu parti itu.