Anak-anak kepada pelakon, Norish Karman menafikan dakwaan bahawa mereka malas untuk keluar mencari pekerjaan dan hanya mengharapkan bantuan bagi menampung kehidupan keluarga.
Malah anak sulung Norish iaitu Muhammad Haqiem Amany mengakui sudah mula mencari rezeki sejak dirinya berada di bangku persekolahan lagi sehingga pengajiannya di institusi pengajian tinggi (IPT) tamat.
Lelaki berusia 27 tahun itu juga memaklumkan bahawa 90 peratus gaji diperolehinya digunakan buat menyara keluarga sekali gus menyangkal andaian orang ramai yang mereka masih bergantung kepada ibunya.
Perkara itu didedahkan oleh Haqiem sewaktu tampil ditemuramah bersama Norish dan adik ketiganya, Nur Hanyz Amanda dalam program hiburan terbitan TV3 iaitu Melodi yang bersiaran pada malam tadi.
“Selepas tamat pengajian, saya terus bekerja. Buat dua kerja sambilan berturut-turut untuk bantu keluarga dan ibu. Hampir 90 peratus gaji saya digunakan untuk perbelanjaan keluarga,” jelasnya menjawab kecaman orang ramai terhadapnya.
Dalam sesi temuramah tersebut, Norish yang berada di sisi Haqiem turut menyatakan bahawa anak sulungnya itu sememangnya sering berkorban dan paling banyak bekerja demi meringankan beban keluarga.
Manakala Hanyz Amanda yang berusia 22 tahun juga menafikan tuduhan bahawa dirinya pemalas sebaliknya pernah bekerja di kilang dan menjadi pembantu kafe untuk membantu menampung perbelanjaan rumah.
Namun anak-anak juga berhadapan dengan cabaran setiap kali mahu mencari rezeki lebih buat keluarga apabila ibu mereka sering kali jatuh sakit didakwa ada kaitan dengan gangguan berunsur mistik.
“Peti pesanan secara terus (DM) saya penuh dengan kata-kata berbaur kebencian. Orang menggelarkan kami pemalas dan suruh mencari kerja. Mereka tuduh kami sudah biasa hidup senang hingga tak nak susah.
“Pertamanya, bila kami hidup senang? Macam mana mereka boleh lebih tahu daripada saya? Mereka suruh pergi kerja kilang, saya pernah cuba. Bekerja sambilan di kafe juga saya dah pernah cuba.
“Saya sudah buat segala-gala yang termampu untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Tetapi setiap kali kali keluar mencari duit lebih, bonda sakit. Ada sahaja orang dengki yang hantar sesuatu,” dakwanya dalam sesi temuramah tersebut.
Menerusi rakaman program yang turut dikongsikan di platform TikTok itu, Amanda juga menafikan dakwaan menerima elaun RM700 seminggu daripada bapanya namun hubungan mereka kekal baik sehingga ke hari ini.
Baca juga: Pelik, apa punca harga durian murah sangat sekarang?