Anwar buktikan, ia benar-benar kejutan, bukan gimik semata-mata

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan beliau membuat pengumuman yang benar-benar mengejutkan bukan gimik semata-mata.

Dalam kenyataan yang dibuat secara langsung itu, Anwar mengumumkan setiap rakyat negara ini yang berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima bantuan SARA RM100 setiap seorang.

Wang ini akan dimasukkan ke dalam MyKad masing-masing dan boleh ditebus di kedai dan pasaraya mulai 31 Ogos 2025.

Anwar juga mengumumkan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sekarang apabila penyasaran subsidi minyak ini dilaksanakan selewat-lewatnya September ini.

Anwar juga mengumumkan kadar tol yang sepatutnya naik tahun ini dikekalkan, jualan rahmah dipertingkatkan dan cuti umum sempena Hari Malaysia pada 15 September.

Anwar beberapa hari lalu mengusik perhatian rakyat dengan memberi bayangan mengenai satu pengumuman besar yang akan menjadi ‘penghargaan luar biasa’ kepada rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang butiran lanjut dikongsi setakat ini dan perkara itu membuatkan ramai tertanya-tanya dan mula membuat spekulasi di media sosial.

Ekoran itu, ada yang memberikan reaksi negatif dan bimbang kalau-kalau ia tidak sebagaimana yang dinyatakan.

Namun, terbukti, pengumuman Anwar ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat negara ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat, serta memacu kestabilan ekonomi negara,” kata Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi.