Harga diesel turun 30 sen, kerajaan masih tanggung subsidi RM3.5 bilion sebulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi dan RON97 kekal seperti minggu sebelumnya.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penurunan itu dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu.

Menurut MOF, perkembangan terkini konflik di Asia Barat yang menunjukkan tanda-tanda ke arah penyelesaian telah membantu meredakan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak ke paras sebelum konflik.

Ini termasuk ketidaktentuan pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang mengambil masa untuk pulih sepenuhnya serta kemungkinan rundingan damai gagal mencapai penyelesaian muktamad.

Bagi minggu ini, harga RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi kekal RM3.72 seliter.

Harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 turut dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala petrol bersubsidi menerusi Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter.

Sementara itu, diesel bersubsidi di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

MOF turut mendedahkan kerajaan masih menanggung subsidi bahan api yang tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan berdasarkan harga pasaran semasa.

“Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian berkenaan, harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter ketika ini adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter.

Ini sekali gus membantu mengurangkan impak kenaikan kos kepada rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

MOF menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Kerajaan turut menggesa rakyat menggunakan bahan api secara berhemah menerusi perancangan perjalanan yang lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi negara.

Baca juga: Bukan jalan-jalan! Kunjungan Mat Sabu ke Usbekistan buka peluang kerjasama strategik ini