“Apa dah jadi dengan Faisal Halim?”

Oleh ROSLAN ZAMAN

“Apa dah jadi dengan Faisal halim”? Itulah persoalan yang bermain di benak fikiran peminat bola sepak Malaysia apabila melihat hantaran terbaru pemain bola sepak kebangsaan itu di hantarannya di Instagram.

Tanpa apa-apa kapsyen, Faisal atau lebih dikenali dengan nama Mickey memuatnaik satu gambar hitam putih dirinya sedang menggelecek bola.

Walaupun tanpa kata, hantaran itu mencetuskan ribuan komen daripada netizen yang memenuhi ruangan itu dengan mesej sokongan dan doa semangat untuk Mickey.

Ramai yang mendoakan pemain itu supaya bersemangat menghadapi segala ujian yang datang.

Isnin lalu, isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahri memuat naik gambar di laman sosial dengan kapsyen berbunyi “perkahwinan bukan satu perjudian, patut la layan aku macam sampah” yang sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Terdahulu, Syazwani pernah memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang namun pasangan itu memilih untuk berdamai demi keluarga.

Faisal dan Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan.