Seorang selebriti dari Korea berjaya mencuri perhatian baru-baru ini selepas tampil dalam sesi wawancara yang disiarkan di laman Youtube.
Menerusi video itu, selebriti tersebut berkongsi mengenai barang-barang yang sering dibawanya di dalam beg kabin atau ‘carry-on baggage’ setiap kali menaiki pesawat.
Antara barangan yang diletakkan ke dalam beg berkenaan adalah minyak rambut, krim pencukur, cermin mata, minyak wangi, penanggal solekan dan cekak rambut.
Namun, apa yang menjadi tumpuan ramai bukanlah barangan berkenaan, sebaliknya sehelai kain hitam bergulung dikeluarkan pemuda itu daripada bagasi kabin miliknya.
Sambil menahan malu, pemuda dikenali sebagai Rowoon itu berkata bahawa dirinya akan memastikan seluar dalam ada di dalam beg kabin sebelum menaiki pesawat.
Pemilik nama sebenar Kim Seok Woo itu memaklumkan, seluar dalam tersebut perlu diletakkan di dalam beg kabin supaya dapat menukarnya di atas kapal terbang nanti.
Mengulas lanjut, pelakon drama Extraordinary You itu mendedahkan bahawa dirinya telah lama ‘obses’ dengan seluar dalam berjenama popular, Calvin Klein.
“Ada ke orang tidak membawa seluar dalam? Tidak ada orang yang tak akan membawa seluar dalam. Awak perlu membawanya (di dalam beg bagasi kabin).
“Saya juga pernah berkongsi dalam sebuah rancangan televisyen sebelum ini bahawa saya sangat suka jenama Calvin Klein. Jika pilih seluar dalam, saya selalu beli jenama Calvin Klein.
“Saya suka warna biasa, lebih tepatnya berona neutral. Saya tidak suka warna yang ‘mencabar’. Baiklah, saya akan berhenti di sini.” Katanya yang menyedari terlalu banyak berkongsi.