Audit laporan TH satu kejayaan, memangkah fitnah dilemparkan kepada PH

Oleh KIM SYAZIE

Laporan penyata kewangan Lembaga Tabung Haji 2019 yang diperakui Jabatan ketua Audit Negara, merupakan kejayaan terbesar buat Pakatan Harapan (PH) yang selama ini menggerakkan misi menyelamatkan institusi berkenaan.

Mujahid dalam siaran langsungnya tengahari tadi berkata, beliau bersyukur apabila laporan kewangan TH 2019 menunjukkan bahawa PH mematuhi akta Tabung Haji dengan menyeimbangkan aset dan tanggungan yang sudah dilanggar sejak tahun 2014.

Beliau menegaskan, pematuhan terhadap akta TH merupakan langkah terpenting menuju pemulihan untuk mengelakkan berlakunya liabiliti dan tanggungan melebihi aset sehingga terpaksa mengorek dan menggunakan simpanan tabung berkenaan.

“Perakuan paling besar ini menandakan kejayaan kita iaitu kesemua kewangan 2019 diperakui telah mengikut pematuhan akta TH. Ini satu sukses besar kerana pada tahun 2014 hingga 2018, pematuhan tak diikuti. Mereka (kerajaan BN) keluarkan hibah tinggi ketika aset rendah.

“Kalau kita tak patuh akta yang dibuat di Parlimen, kita sebenarnya boleh didakwa dan dibawa ke mahkamah. Penabung boleh lakukan pelbagai perkara sebab kerajaan dah langgar akta 22.

“Tanpa prejudis atau cuba mrendahkan mana-mana pihak, kita letakkan pematuhan akta sebagai objektif terpenting dalam pentadbiran. Ia terbukti dalam perakuan audit,” katanya di siaran langsung Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, PH berdepan dengan serangan tidak berhenti apabila Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sebagai menteri agama ketika itu didakwa menjual aset-aset orang Islam dalam TH.

Isu tersebut antara senjata utama yang sering dimainkan pihak lawan ketika PH menjadi kerajaan dengan sentimen bahawa DAP telah menguasai institusi umat Islam.

Namun Mujahid menegaskan, tuduhan dilemparkan itu terbukti fitnah dengan perakuan Ketua Audit Negara pada Disember 2020 yang diletakkan di meja-meja Ahli Parlimen tempoh hari.