Ayam RM8.00 sekilo di Pasar Borong Selangor, outlet PKPS mulai hari ini

Oleh BORHAN AHMAD

Kerajaan negeri Selangor memulakan jualan ayam dengan hanya RM8.00 sekilo di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan juga Outlet PKPS Shah Alam mulai hari ini.

Bagaimanapun, ia terhad kepada pembelian runcit 2 ekor bagi setiap pelanggan sahaja, kata Exco Pertanian Kerajaan Selangor, Izham Hashim.

Dalam satu kenyataan di facebook beliau sebelum ini, Izham berkata, ramai yang mengeluh dengan harga ayam yang mahal ketika ini.

“Kerajaan negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS akan mengadakan jualan ayam serendah RM8.00 sekilo bermula 7 Februari ini.

“Harga ayam ini hanya boleh didapati di Pasar Borong Selangor dan Outlet PKPS Shah Alam sahaja.

“Terhad kepada pembelian runcit sahaja (2 ekor).

“Semoga dengan inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat negeri Selangor,” kata beliau.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga siling ayam kepada RM8.90 sekilo ekoran kenaikan harga ayam.