Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan perkhabaran mengenai Bad Indigo atau Badrul Izhan Yeop Abdullah yang dilapor meninggal dunia semalam.
Berita mengejutkan itu dikongsikan rakan seperjuangan penyanyi, Liza Hanim menerusi muat naik dalam Instagram malam tadi
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Baru dapat berita Bad Indigo telah kembali ke rahmatullah.
“Saya akan kongsi butiran lanjut dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” kata Liza, atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abd. Halim.

Sementara itu Harian Metro melaporkan, penyanyi berusia 48 tahun itu meninggal di tempat kerjanya iaitu di bengkel kenderaan di Ampang, jam 7 malam, semalam.
Menurut rakan sekerjanya, Bad dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah.
“Memang mengejutkan. Katanya, dia tengah sakit dan berlaku hipoglisemia, dia diberi minum air. Tiba-tiba, dia senyap.
“Bos dia yang juga kenalan saya baru hubungi saya. Jenazah masih lagi di bengkel,” katanya memetik Harian Metro.
Sementara itu, rakan Bad dari kumpulan Indigo, Shah turut mengesahkan Bad meninggal dunia dalam satu hantaran di media sosial.
Di Instagram, kali terakhir Bad memuat naik hantaran ialah empat hari lalu berupa video yang meniup semangat kepada pengikutnya di platform itu supaya tidak berputus asa dan mengingati Allah setiap kali dilanda ujian.
Sebelum ini, Bad yang menghidap kencing manis menjalani pembedahan membuang tiga jari kaki pada 9 Mei tahun lalu sebelum semua jari kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan kemudian.
Dia kemudiannya terpaksa menggunakan bantuan alat ‘walker’ dan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan.
Kemudian, Bad dan bekas isteri, Ashira mengumumkan yang mereka sudah bercerai menerusi sebuah hantaran video pada 23 Jun tahun lalu.
Bad dan Ashira mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 selepas mereka sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.Bad dilaporkan memohon status OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas menjalani beberapa prosedur memotong jari kaki kiri.
Baca juga: Peniaga di Jitra bual hal, berani jual sate 40 sen secucuk! – “Saya niat nak tolong orang”