Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang khas Parlimen khusus berhubung banjir besar pada 18 Disember lalu.
Dalam kenyataan bersama, PH berpendapat kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selaras dengan titah Tuanku bahawa satu postmortem banjir besar dilakukan termasuk juga buat Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi mengenalpasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut berhubung 6 kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis Presiden PH dianggotai Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (AMANAH), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO).
Dalam masa sama, Majlis Presiden PH berkata, rakyat amat lantang mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada September lalu.
“Kesan banjir besar dari segi kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa hampir 50 orang kali ini
amat ketara dan mengguris hati.
“Malah, fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan pembangunan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan yang amat negatif buat rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas,
sukarelawan dan dermawan yang telah membantu dalam pelbagai misi menyelamat, membersih,
dan memulihkan kawasan-kawasan yang sangat terjejas akibat banjir.
“Malah tenaga dan semangat para sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua di Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.
