Bapa terpaksa bayar ganti rugi, anak tabur pasir dalam enjin Lamborghini bernilai RM5.19 juta

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah kereta sport jenama Lamborghini hampir rosak di bahagian enjin selepas seorang kanak-kanak berusia lapan tahun menabur pasir pada kereta mewah itu sehingga memasuki petak enjin.

Memetik laporan Thaiger, kanak-kanak lelaki itu ditinggalkan tanpa pengawasan oleh kedua orang ibu bapanya.

Kebetulan pada waktu itu, pemilik Lamborghini yang bernama Su dari wilayah Zhejiang, China meninggalkan keretanya di tempat letak kereta awam untuk menyelesaikan urusan peribadi.

Namun begitu, selepas lelaki tersebut kembali, dia mendapati kenderaannya dalam keadaan kotor dan dipenuhi pasir. 

Dia memeriksa sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar dan mendapati seorang budak lelaki memanjat dan bermain di atas keretanya.

Selain dirakam menabur pasir pada bahagian terbuka enjin berkenaan, kanak-kanak itu juga turut memanjat bumbung kereta buatan Itali tersebut.

Berdasarkan bukti berkenaan, lelaki itu seterusnya membuat laporan polis. Hasil bantuan pihak berkuasa, kanak-kanak dan penjaganya berjaya dikesan.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan berjanji menanggung kos pembaikan selepas kanak-kanak itu mengaku perbuatannya.

Mujurlah, walaupun pusat servis mengesan pasir memasuki bahagian anjin kereta berkenaan, namun ia tidak menyebabkan kerosakan sebenar pada enjin Lamborghini berharga 8 juta yuan (RM5.19 juta) itu. 

Oleh kerana tiada kerosakan ketara, dia hanya meminta pasangan itu menanggung kos pembersihan sekitar 10,000 yuan (RM6,485). 

Namun begitu, nilai sebenar kenderaan sebenar termasuk semua aksesori dan ubah suai yang dibuat adalah sekitar 10 juta Yuan (RM 6.47 juta).

Walau bagaimanapun, dia menerima permohonaan maaf yang dibuat oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan tidak bercadang untuk mengambil tindakan lanjut.

Baca juga: Guna senduk kayu untuk elak santan pecah minyak? Ini 6 petua orang lama yang jarang kita ikut