Bapa Zayn Rayyan kongsi nombor akaun bank, mohon sumbangan kos perbicaraan

Oleh MALAYSIADATELINE

Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari tampil memohon sumbangan dari orang ramai untuk menampung kos perbicaraan bagi pihaknya dan isteri di peringkat Mahkamah Tinggi.

Zaim memaklumkan bahawa dirinya dan isteri, Ismanira Abdul Manaf sudah mengeluarkan wang ringgit sekitar RM200,000 bagi menampung kos guaman dan urusan berkaitan mahkamah sejak kes mereka dimulakan.

Pasangan itu kini memerlukan perbelanjaan tambahan kira-kira RM65,000 untuk meneruskan kes ke peringkat Mahkamah Tinggi namun kos tersebut berada di luar kemampuannya sehingga memerlukan bantuan dana.

Menerusi hantaran dimuat naik di platform Instagram itu, Zaim menekankan bahawa sumbangan berkenaan dikumpulkan dengan tujuan untuk mendapatkan keadilan buat keluarga termasuk arwah Zayn Rayyan.

“Saya dengan rendah hati ingin merayu dan memohon jasa baik serta keperihatinan daripada saudara mara, rakan-rakan dan orang ramai untuk membantu saya dan isteri dalam menampung kos di Mahkamah Tinggi.

“Sejak dari pertuduhan di Mahkamah Seksyen, kami telah berhabisan wang lebih kurang RM200,000 untuk kegunaan di mahkamah sahaja. Kini, kami memerlukan lebih kurang RM65,000 lagi untuk menampung kos di Mahkamah Tinggi pula.

“Kos yang terlibat sangat tinggi dan di luar kemampuan saya. Saya merayu orang ramai untuk membantu menghulurkan sumbangan demi mendapatkan keadilan buat seluruh keluarga kami termasuk arwah Zayn Rayyan,” katanya.

Bapa berusia 31 tahun terbabit turut berkongsi nombor akaun Hong Leong Bank peribadi miliknya bertujuan memudahkan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan untuk berbuat sedemikian.

Dalam perkongsian sama, Zaim turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang masih memberikan sokongan serta kiriman doa untuk keluarganya sehingga ke hari ini.

“Setiap sumbangan kecil atau besar, amat saya hargai. Semoga Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala kebaikan dan kemurahan hati tuan puan dengan rezeki yang berlipat ganda serta keberkatan hidup.” Ujarnya.

Terdahulu, jasad Allahyarham Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan menyayat hati pada 6 Disember 2023 lalu di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Mangsa yang merupakan kanak-kanak autisme itu ditemukan terbaring di lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari blok kediamannya selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang oleh ibunya sendiri.

Kemudian pada 31 Oktober tahun lalu, Ismanira dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah mendapati wanita itu bersalah melakukan pengabaian terhadap anak sulungnya.

Zaim Ikhwan pula kekal bebas daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa pada tiga tahun lalu.

Mahkamah Tinggi pada Januari membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tahun lalu yang melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan selepas kes prima facie terhadapnya gagal dibuktikan.

Baca juga: Pulang selepas 10 tahun kerja di Malaysia, warga Indonesia ini sebak lihat realiti kesusahan di negaranya