Satu rakaman memaparkan aksi seorang wanita yang memegang pinggang milik anggota tentera laut telah berjaya menyita perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, pinggang yang disentuh oleh wanita berkenaan dikatakan bukanlah milik suami atau mahramnya sebaliknya seorang lelaki asing tidak dikenalinya.
Bukan sengaja mahu memegang pinggang lelaki bukan mahram, wanita yang sedang hamil itu mengaku bertindak sedemikian untuk memenuhi keinginan mengidamnya.
Mengundang perbincangan hangat, suami wanita terbabit juga dengan hati terbuka sanggup membantu isterinya hanya untuk memenuhi keinginan pelik tersebut.
Tular di media sosial, aksi wanita yang sedang hamil itu sempat dirakam suaminya sebelum dimuat naik menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat sang suami meminta pertolongan daripada seorang anggota tentera laut yang sedang berjalan melintasi pasangan suami isteri itu.
Sang suami dengan penuh sopan menerangkan situasi isterinya yang sedang mengidam itu sambil meminta izin untuk memegang pinggang anggota berkenaan.
“Isteri saya ini tengah mengidam. Teringin nak pegang pinggang. Boleh?” Pinta sang suami sambil menunjukkan ke arah isterinya yang sedang memegang perut itu.
Anggota tentera laut yang memakai seragam putih itu kemudian memaklumkan bahawa dia langsung tidak keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut.
Setelah anggota tersebut memusingkan badannya, sang isteri yang tersipu malu itu segera memegang pinggang lelaki berkenaan sambil disaksikan oleh suaminya.
Pasangan suami isteri tersebut kemudian mengucapkan terima kasih kepada anggota beruniform itu di atas kesudiannya melayani kerenah wanita mengidam itu.
Setakat artikel ini ditulis, video kongsian sang suami itu sudah berjaya mendapatkan tontonan sebanyak 2.6 juta daripada pelayar platform media sosial tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok memuji tindakan sang suami yang rela melakukan apa saja demi memenuhi keinginan isteri.
Meskipun ramai yang terhibur saat menonton video tersebut, ada juga segelintir pengguna menganggap bahawa tindakan wanita mengandung itu sudah keterlaluan.
“Kalau ikut hukum, (tindakan isteri memeluk pinggang) dikira dosa besar. Takutlah kepada Allah wahai isteri,” komen seorang pengguna yang beragama Islam.
“Sebenarnya mengidam itu keinginan bayi atau ibunya?.” Soal pengguna lain yang merasa hairan ketika menonton video berkenaan.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Jawa Barat, Indonesia itu turut berjaya mendapatkan perhatian daripada para pengguna media sosial daripada Malaysia.
Baca juga: Mahu naik harga mulai 1 Oktober ini, Gardenia diberi masa 6 hari buat penjelasan