Belum pun konvo, graduan UUM dah dapat kerja lumayan dengan gaji RM20k sebulan

Oleh KIM SYAZIE

Ketika rakan sebaya masih lagi menunggu panggilan kerja selepas menamatkan pengajian, seorang graduan ini berjaya meraih pendapatan RM20,000 sebulan dengan melangkah ke dunia kerjaya sebagai usahawan komputer.

Kisah luar biasa ini mengenai anak muda bernama Muhammad Rahman Adabi, graduan dari Universiti Utara Malaysia.

Adabi yang berada di China empat hari lalu atas urusan perniagaan ketika dihubungi Jabatan Komunikasi Korporat UUM berkata, beliau kini pengarah kepada syarikat PT AAC Legasi Arthaya yang mempunyai 20 orang kakitangan.

“Seawal sekolah rendah, saya sudah dibawa ayah ke kedai komputer keluarga. Dari situlah minat berniaga disemai. 

“Menjejak ke alam sekolah menengah, saya sudah mula terlibat secara aktif dalam perniagaan dengan membantu operasi syarikat yang menjadi pengedar sah produk IT ke seluruh Sumatera,” katanya. 

Menurutnya, tahun 2020 menjadi detik getir saat dunia diuji COVID-19, kerana operasi syarikatnya sukar untuk mendapatkan pasaran.

Adabi  mula mencipta peluang. Daripada krisis, dia bangkit dengan strategi berani: ubah operasi perniagaan kepada jualan dalam talian sepenuhnya. Hasilnya? Perniagaannya berkembang daripada dua cawangan kepada empat, siap tambah dua gudang baharu.

Tak cukup dengan itu, Adabi  juga menubuhkan syarikat sendiri sebagai pengedar kabel rangkaian untuk sambungan internet di Indonesia dan apabila tanya mengapa memilih UUM walaupun sudah mempunyai perniagaan sendiri, beliau menjawab:

“Tujuan saya ke UUM bukan sekadar belajar teori. Saya mahu tajamkan strategi dan fahami asas bisnes secara mendalam,” katanya.

Baca juga: Wanita mengaku kerja kilang direndahkan mak cik bawang, terdiam bila tahu jawatan sebenar