Kerajaan Negeri mesti tegas dan menuntut bahawa Sarawak ada kuasa melakukan penilaian risiko sendiri dan menentukan tarikh membuka semula sekolah di negeri ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How (gambar), kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) perlu mengemukakan hasil penilaian risiko kepada kerajaan persekutuan khasnya Kementerian Pendidikan agar ia dapat direalisasikan.
Beliau menambah, perkara itu perlu dilakukan memandangkan Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin di Facebook pada 3 September lepas telah mengumumkan kerajaan persekutuan akan memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka di sekolah di seluruh negara pada 3 Oktober 2021 bermula dengan kelas-kelas peperiksaan.
“Berdasarkan pengumuman menteri berkenaan, semua sekolah di negeri-negeri di bawah Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dibenarkan dibuka semula manakala di negeri-negeri Fasa 2, sekolah hanya dibuka untuk kelas-kelas peperiksaan.
“Namun, situasi berbeza di Sarawak ialah lapan daerah di zon selatan iaitu Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu masih dalam Fasa 2 PPN manakala daerah lain diisytiharkan dalam Fasa 3 PPN.
“Keselamatan dan kesihatan semua pelajar di Sarawak berisiko tinggi kerana kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi melibatkan varian Delta di seluruh negeri terutamanya di bandar-bandar besar di negeri ini,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Justeru, tegasnya lagi kerajaan negeri dan JPBNS mesti tegas dan menuntut bahawa Sarawak ada kuasa melakukan penilaian risiko sendiri dan menentukan tarikh membuka semula sekolah di negeri ini.
“Ini kerana, statistik jangkitan Covid-19 terutamanya kematian melibatkan kanak-kanak di bawah 18 tahun di seluruh negara amat membimbangkan.
“Dan berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jangkitan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah 18 tahun, dua daripadanya direkodkan di Sarawak.
“Kematian melibatkan kanak-kanak berumur 17 dan 8 tahun di Sarawak bukan yang pertama di Malaysia kerana setakat ini negara telah merekodkan enam kematian melibatkan golongan ini dan 41 kes dalam lapan bulan pertama tahun ini.
“Walaupun kita mempunyai 12,620 anak di bawah 18 tahun dijangkiti yang membawa maut pada tahun lalu, jumlahnya meningkat 30 kali ganda menjadi 310,074 dalam lapan bulan pertama tahun ini, lonjakan kemungkinan besar disebabkan oleh pandemik yang lebih menular termasuk varian Delta kini tersebar dalam masyarakat,” tambah See.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya KKM dan JPBNS mesti mendedahkan kadar jangkitan dan kes positif harian melibatkan kanak-kanak di bawah 18 tahun supaya kerajaan negeri merangka rancangan juga strategi mengurangkan ancaman serta risiko dihadapi kanak-kanak dan remaja di negeri ini.
“Saya sangat berharap agar KKM dan JPBNS dapat mendedahkan statistik kes positif yang melibatkan golongan kanak-kanak di negeri ini sekali gus merangka strategi dalam melaksanakan penjadualan tarikh pembukaan musim persekolahan,” katanya.