Perkongsian seorang pelanggan yang mendakwa berbelas belas kenderaan rosak selepas mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Nilai, Seremban mencetuskan perbincangan hangat.
Menurut perkongsian @Sifugoogleads, dia mendakwa kenderaan milik isterinya rosak sehingga terpaksa berkampung tiga minggu di bengkel disebabkan RON95 di stesen berkenaan dicampur dengan air.
Dakwaan itu bukan berdasarkan anggapan tetapi ia sendiri disahkan pomen bengkel yang memeriksa kenderaan tersebut.
“Ini kereta isteri saya. 3 minggu dalam bengkel sebab isi minyak yang bercampur air. Lepas isi minyak tak sampai 2km terus tersedu-sedu sebelum mati tepi jalan.
“Masuk pusat servis, pomen konpem ada air dalam minyak. Tapi sebelum tu pomen tanya betul ke isi RON95 bukan diesel? Haaa sinilah mujur saya simpan resit.
“Memang betul RON95 dan jadi bukti kuat yang kereta rosak sebab isi minyak,” kongsinya di Threads.
Tambah individu tersebut, ketika aduan dibuat di stesen berkenaan, rupa-rupanya sebanyak 19 pemilik kenderaan lain turut membuat aduan sama.
“Pergi buat aduan dekat stesen rupanya dah 19 orang dakwa sama. Pemilik pula nak bayar separuh je,” kongsinya lagi
Ketika ini difahamkan stesen terbabit telah ditutup untuk kerja penyelenggaraan.
Baca juga: Ibu berpantang risau CL sibuk tanya tentang suami, siap tunggu di balkoni bila balik kerja