‘Bukan arak, itu cucumber apple slider’ – KPKT

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di beberapa halaman Facebook yang cuba memberikan persepsi negatif berhubung penggunaan gelas berkaki bagi minuman “Cucumber Apple Slider” semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT pada 8 November 2025.

“Minuman “Cucumber Apple Slider” yang disajikan kepada para tetamu merupakan minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang alkohol.”

“Penyediaannya dalam gelas berkaki adalah selaras dengan standard katering yang lazim digunakan untuk majlis berprotokol.”, kata kenyataan media dari KPKT.

KPKT turut memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan yang boleh menjejaskan imej kementerian serta reputasi para tetamu.

Kata kenyataan media KPKT lagi, kementerian itu sudah pun membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tohmahan yang ditularkan untuk siasatan lanjut.