Bukan salah ejaan, cikgu Mandarin ini jelaskan istilah ‘bakai’ dan ‘bunggung’

Oleh KIM SYAZIE

Istilah ‘bakai’ dan bunggung’ tiba-tiba menjadi tular setelah kes kecurangan usahawan terkenal, View Chin didedahkan di media sosial.

Berdasarkan tangkap layar di media sosial, View Chin dilihat berulang kali menggunakan perkataan tersebut ketika menulis pesan kepada kekasihnya.

Bukanlah ‘typo’ seperti yang dijangka, seorang guru tampil menjelaskan penggunaan perkataan tersebut dalam bahasa Mandarin.

Menurut lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Azim, istilah tersebut muncul kerana Mandarin menggunakan sistem pinyin ketika berkomunikasi.

Walaupun huruf ‘B’ dan ‘P’ wujud dalam sistem pinyin, namun cara untuk menyebut huruf berkenaan amatlah berbeza.

“Huruf ‘B’ kita sebut macam bunyi huruf ‘P’ iaitu bo (po). Tapi huruf ‘P’ pula, macam mana nak bezakan dengan huruf ‘B’ tadi? Sebutannya ialah po (pho).

“Dalam bahasa Mandarin, ‘B’ bunyi macam ‘P’, tapi TIDAK KELUARKAN ANGIN. Huruf ‘P’ pula kita sebut, kena KELUARKAN ANGIN.

“Itulah perbezaan antara ‘BO’ dan ‘PO’. Itulah perbezaan antara huruf ‘B’ dan ‘P’ dan kenapa wujudnya BAKAI dan BUNGGUNG,” jelasnya.

Penjelasan yang dibuat dalam bentuk video itu dimuat naik di laman TikTok milik cikgu Mandarin tersebut, @laoshi_mandarin.

Baca juga: Ada yang kata haram ambil upah tukar duit raya, dah macam riba, betul ke?