Bunda Hetty tegur Kak Lina agar suaikan diri dengan rakan pengacara, “bila masuk rumah orang, ikut cara mereka”

Oleh KIM SYAZIE

Juri tetap GV10 iaitu Hetty Koes Endang memberi teguran lembut kepada Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom susulan keputusannya menarik diri secara tiba-tiba dari program All Stars Gegar Vaganza.

Menurut penyanyi kelahiran Indonesia itu, Kak Lina tidak sepatutnya menarik diri sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku rakan pengacara.

“Apabila masuk rumah orang, perlu ikut cara mereka.

“Saya juga baru tahu mengenai hal ini tetapi acara tetap perlu berlangsung kerana GV10 bukan mengenai dia seorang sahaja kerana yang perlu diberikan lebih perhatian ialah barisan peserta yang berjuang.

“Sebenarnya, bila kita masuk ke rumah orang dan mahu bertuan dengan yang baharu, jadi perlu ikut (cara) mereka.

“Bukankah Jihan dan Nabil lebih lama menjadi hos GV,” katanya menerusi satu temu bual baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Kasih itu, Elly boleh  membawa cara pengacaraannya sendiri tetapi mentalnya perlu kuat sekiranya menghadapi sebarang kritikan daripada orang sekeliling termasuk rakan hos lain.

“Dia dibenarkan untuk membawa versinya sendiri tetapi mungkin dua lagi hos mempunyai cara berbeza.

“Cuma, dia kuat mental atau tidak? Jangan main hati dan perasaan sebab dia masuk ke rumah orang,” jelasnya.

Menerusi video tersebut, Hetty turut memujuk Elly yang juga merupakan bekas peserta GV kembali menyertai program tersebut dengan semangat yang lebih kuat.

Bahkan dia juga menolak dakwaan cara Elly mengendalikan GV10 menjengkelkan seperti yang sering dikecam ramai sebelum ini.

“Kepada peminat Elly, dia tidak jelik! Jadi, jika dia tidak kuat, keputusan untuk keluar itu yang diambilnya. Jangan.  Ayuh dan sama-sama. Tiada istilah kamu bagus dan saya jelik, mari kita kerja berpasukan untuk menjayakan GV10.

“Kadang-kadang dia memang agak sedikit terkeluar dari landasan tetapi saya pujuknya kembali ‘hey Lina, kamu bagus sekali tetapi lebih baik sekiranya tidak menyanyi’ supaya dia tidak ‘over’.

“Kalau saya hanya di mulut sahaja dan bukan hati. Dia okey dan mesej saya sekiranya ada hal-hal berbangkit selain minta maaf jika terdapat keterlanjuran dalam gurauan,” tegasnya.

Baca juga: Pisau cepat tumpul? Ini tip untuk pastikan ia sentiasa tajam, jangan ‘skip’ tips no 5 kalau sayang barang!