Masih ada individu yang sanggup membeli makanan menggunakan kad debit milik orang lain yang hilang, sedangkan apa yang dibeli itu akan menjadi darah daging sendiri.
Menurut satu hantaran yang dimuat naik di sebuah halaman Facebook, anak beranak berkenaan didakwa menemui sebuah beg duit.
Pasangan tersebut kemudian menggunakan kad debit di dalamnya untuk menikmati hidangan di satu restoran makanan segera menerusi kaedah payWave.
Bagaimanapun, perbuatan itu disifatkan sebagai tidak bijak kerana setiap transaksi payWave akan menghantar notifikasi kepada pemilik asal kad, sekali gus membolehkan mangsa menyedari kadnya sedang digunakan tanpa kebenaran.
Apa yang membimbangkan ada juga yang tampil mempertahan tindakan pasangan tersebut dan memberi jaminan akan membayar semula bagi pihak mereka.
“Boleh carikan pemilik asal hantaran ini. Saya ingin menggantikan semula bayaran makanan yang digunakan oleh keluarga tersebut demi anak mereka.
“Salah tetap salah, tetapi tidak mengapa. Saya kasihan melihat anak itu. Kita tidak tahu sama ada mereka dalam kesusahan atau tidak, sama ada anak tersebut lapar dan tidak makan berhari-hari, atau ibu bapanya mempunyai pekerjaan atau sebaliknya.
“Mari kita bersikap positif. Setiap orang berhak diberi peluang kedua. Saya lakukan ini dengan ikhlas,” kongsi individu berkenaan.
Selepas dikecam pengguna Threads bahawa makan makanan segera itu adalah keinginan, bukan keperluan, individu tersebut dilihat sudah memadam kenyataan berkenaan.
“Aku bukan takut pada pencuri, aku takut pada yang pertahankan pencuri. Buat baik jangan sampai jadi bodoh. Ia sebenarnya salah, mencuri tetap mencuri dan berdosa.
Bukan tersalah dan bukan tertekan tapi dilakukan dengan sengaja,” komen Fara.
“Tak nampak pun macam anak tu tak makan beberapa hari. Dan tak nampak pun mak ayahnya macam pengemis… elok je. Mencuri tetap salah,” komen Zie.
“Takkan nak beli untuk anak sampai RM65, weh. Ni bukan untuk anak je, tapi mak bapa sekali yang lebih-lebih. Kalau lepas dia beli KFC lepas tu pulangkan balik kad tu, tak apa. Ni boleh bawa shopping pula.” komen Anie.
Baca juga: Semua penduduk di Pantai Timur dah guna habis SARA RM100