Dakwaan pemandu bas bercumbuan rupanya fitnah, penumpang tampil jelas hal sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berjaya mencuri perhatian selepas mengaku dirinya berada di dalam bas dibawa oleh pemandu yang kononnya berkelakuan tidak senonoh.

Tidak ingin fitnah terus berleluasa, wanita berkenaan tampil menjelaskan perkara sebenar yang berlaku di dalam bas itu menerusi perkongsian di laman X (Twitter).

Wanita berkenaan memaklumkan, dia dan suaminya merupakan saksi kejadian berikutan tempat duduk mereka berada betul-betul di belakang pemandu bas tersebut.

Menurutnya, kedua kakitangan tersebut tidak bercumbuan seperti difitnah namun hanya membetulkan sesuatu di kotak radio belakang tempat duduk pemandu bas itu.

“Fitnah. Saya dan suami betul-betul duduk belakang pemandu bas ini. Kakitangan lelaki itu sedang betulkan sesuatu dekat ‘box’ radio belakang tempat duduk pemandu bas.

“Aku dan suami tengok dengan mata sendiri. Jarak kita orang lagi dekat berbanding perempuan yang merakam memfitnah ini,” tulis wanita dikenali sebagai @anisjey itu.

Jelasnya lagi, penumpang sudah dimaklumkan mengenai kelewatan bas selama tiga jam kerana kesesakan lalu lintas yang teruk dari Ayer Keroh hingga menuju ke Larkin.

“Pemandu memang sudah maklum masa ambil penumpang. Dia kata jalan sesak teruk dari Ayer Keroh sampai Larkin. Bas ini dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin ke TBS semula.

“Perjalanan tak henti-henti, kesian. Tambah dengan hujan lebat lagi. Kami percaya jalan sesak sebab masa dalam perjalanan ke TBS, memang sesak tak putus-putus di arah jalan bertentangan.

“Video ini tak sampai 30 minit lagi bergerak dari Larkin,” ulasnya yang memaklumkan bahawa pemandu wanita berkenaan baru bekerja sehingga memerlukan bimbingan.

Difahamkan, pemandu wanita itu kebiasaannya hanya memandu bas di laluan Perak sahaja sebelum ini sehingga membuatkan dia tidak mahir dengan laluan Johor.

“‘Trip’ dia sebenar laluan perak. Dia tak mahir jalan Johor dan kakitangan lelaki itu tolong masukkan ‘gear’, ajar dia. Saya dengar perbualan mereka dengan jelas.

“Jadi zalimlah kalau saya diamkan. Saya dan suami saksi. Lagipun pak cik pemandu ini berhenti solat ya dekat Yong Peng. Solat atas ‘gazebo’ hujan-hujan.” Katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial bertindak memuat naik satu video dan menuduh seorang lelaki bercumbuan dengan wanita yang merupakan pemandu bas.

Pengguna berkenaan turut mendedahkan nama syarikat dan nombor plat bas serta mendakwa mengalami kelewatan akibat daripada perlakuan aksi tidak senonoh itu.

Baca juga: AC Mizal rupanya sudah ada cucu, bekas isteri berjaya didik dua anak jadi cikgu