DAP cadang individu lakukan ujian Covid-19 48 jam sebelum ke Langkawi

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyatakan kebimbangannya terhadap kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang menetapkan bahawa pengunjung yang mahu ke Langkawi tidak diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Lip Eng berkata, keputusan berkenaan menimbulkan kerisauan memandangkan kes positif dalam negara masih mencatat puluhan ribu, yang memerlukan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Jelasnya, dengan wujudnya pelbagai varian baharu, tidak mustahil untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksinasi ini dijangkiti Covid-19 dan situasi akan menjadi lebih teruk sekiranya mereka sendiri tidak tahu mereka sudah dijangkiti dan menjadi ‘superspreader’.

“Perlu juga untuk diingatkan bahawa individu di bawah umur 18 tahun juga dibenarkan untuk ikut bersama ibu bapa yang sudah lengkap dos vaksin, dan rata-rata mereka ini belum divaksinasikan.

“Hal ini juga menjadi kebimbangan yang amat besar sekiranya tiada inisiatif untuk ujian saringan dijalankan terlebih dahulu.

“Sekurang-kurangnya, mereka yang ingin bercuti ke pulau ini wajar melakukan ujian saringan Covid-19 kendiri 48 jam sebelum berangkat ke tempat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, demi memastikan inisiatif menggerakkan gelembung pelancongan tidak berhenti di tengah jalan, segala macam cara perlu diusahakan bagi memastikan gelembung percutian itu berjaya.

Tambahan pula katanya, dengan adanya kewajipan untuk melakukan ujian saringan, para pelancong akan berasa selamat, mereka yang di pulau juga tidak perlu risau dengan penularan wabak.